Anugerah Remaja Siber
Ahmad Dahlan Kardi
(Lima dari kiri) bersalaman dengan pYap Voon Meo selepas tamat majlis
penyampaian hadiah Anugerah Remaja Siber di SMK Pandan Indah, baru-baru
ini.
Buat pertama kalinya pengiktirafan telah diberi kepada pelajar
sekolah yang kreatif dan berpengetahuan dalam bidang teknologi
komunikasi maklumat (ICT) melalui Anugerah Remaja Siber anjuran Pusat
Kegiatan Guru (PKG) Zon Ampang, baru-baru ini.
Anugerah yang
disertai 36 pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah sekitar zon itu
telah dimenangi oleh Yap Voon Meo, 18 dari Sekolah Menengah Kebangsaan
(SMK) Bandar Baru Ampang bagi kategori sekolah menengah manakala
kategori sekolah rendah dimenangi oleh Mohd Alief Imran Sefor Rahman, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kosas.
Menurut Voon Meo, pertandingan ini adalah yang pertama kali disertai melibatkan pengetahuannya tentang ICT. Walaupun
sehari sebelum pertandingan itu Voon Meo tidak mendapat tidur yang
cukup kerana membuat persediaan bagi dua pertandingan namun dia berpuas
hati kerana usahanya berbaloi.
``Saya terpaksa membuat persiapan
untuk satu lagi pertandingan lain namun kedua-duanya saya anggap penting
dan saya berpuas hati kerana saya mampu menjawab soalan-soalan yang
dikemukakan pada pertandingan ini kerana telah mempunyai pengetahuan
tentang bidang ini,’’ katanya.
Sementara itu Mohd Alief Imran
yang juga pertama kali menyertai pertandingan seumpama ini menyifatkan
soalan yang dikemukakan pada pertandingan itu agak sukar. ``Agak
sukar juga soalan yang dikemukakan sama ada soalan objektif atau soalan
amali tetapi sebelum pertandingan guru saya telah memberi tunjuk ajar
serba sedikit tentang skop pertandingan ini,’’ katanya.
Dalam
pertandingan itu, tempat kedua dan ketiga bagi kategori sekolah menengah
masing-masing dimenangi oleh Afdhal Atiff Tan Amin Husaini Tan dari SMK
Dato Ahmad Razali dan Mohd Firdaus Idris dari SMK Pandan Mewah.
Tempat
kedua bagi kategori sekolah rendah pula ialah Ng Jia Jen dari SK Bukit
Teratai dan tempat ketiga dimenangi oleh Dalila Mohd Alwi dari SK Tasek
Permai.
Pertandingan bagi anugerah itu telah disertai oleh
seramai 36 pelajar dari 27 sekolah iaitu 18 buah sekolah rendah dan
sembilan buah sekolah menengah.
Kategori sekolah rendah
melibatkan pelajar tahun 6 iaitu seramai 18 orang manakala kategori
sekolah menengah juga disertai oleh 18 pelajar sekolah menengah dengan
setiap sekolah menghantar dua pelajar melibatkan pelajar tingkatan tiga
dan tingkatan lima.
Pertandingan tersebut melibatkan dua bahagian soalan iaitu soalan amali melalui pembinaan bahan multimedia dan soalan objektif.
Sementara
itu, Pegawai Teknologi Pendidikan PKG Ampang, Asman Harun berkata,
pihaknya mengambil inisiatif untuk menggalakkan aktiviti berkenaan
sebagai salah satu usaha menyuburkan bidang berkenaan di
sekolah-sekolah.
Melalui pertandingan tersebut, guru dan pelajar diharap akan lebih serius terhadap bidang ICT. ``Pada
masa ini apa juga yang kita buat sama ada dalam sesuatu mata pelajaran,
guru atau pelajar tidak boleh lari daripada ICT,’’ katanya. Menurut
beliau, pertandingan sedemikian yang merupakan kurikulum dalam
kokurikulum yang belum pernah diadakan di peringkat daerah mahupun
negeri.
``PKG Zon Ampang adalah pelopor pertandingan itu dan
berharap ia dapat dilanjutkan di peringkat daerah dan negeri Selangor,’’
katanya.
Pertandingan itu juga turut melibatkan kerjasama
guru-guru ICT sekolah, tenaga pakar, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),
Cybersecurity Sdn. Bhd. termasuk syarikat swasta seperti Jusa Sepadu
Sdn. Bhd.
Sejajar usaha mengembangkan ilmu ICT, semasa
pertandingan diadakan guru-guru pengiring pula didedahkan dengan ceramah
keselamatan siber oleh syarikat Cybersecurity itu.
Pada
pertandingan itu Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan
Negeri (BTPN) Selangor, Ahmad Dahlan Kardi telah menyampaikan hadiah
dengan disaksikan oleh oleh Presiden Persatuan Pendidik Teknologi
Kebangsaan, Dr. Mohd Arif Ismail dan Pengetua SMK Pandan Indah, A-Inah
Bahrom.